Pages

Wednesday, 12 September 2012

MUSAFIR DUNIA

Jangan biar diri dibuai kelalaian dengan dugaan kemewahan

Rasulullah SAW berpesan kepada kita supaya menganggap dunia hanya tempat persinggahan dan mengibaratkan diri sebagai seorang musafir. Baginda banyak kali mewasiatkan umatnya berhati-hati dengan kehidupan di dunia supaya tidak sampai melupakan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Pun begitu, berapa ramai antara kita yang kerana keasyikan mengejar nikmat dunia sehingga lupa diri sekali gus jatuh ke lembah kehinaan lantaran dosa maksiat dan mungkar.
Justeru, dalam memperingatkan diri, ada baiknya kita meneliti kembali beberapa pesanan yang pernah diutarakan oleh khalifah ar-Rasyidin kedua, iaitu Saidina Umar al-Khattab.

Kata beliau, “Masa terus berlalu mengiringi usia. Sewajarnya setiap Muslim yang yakin adanya hari pembalasan tidak melengah-lengahkan masa dimiliki untuk memperbetulkan dan melipatgandakan amal ibadah sebagai persediaan serta bekalan bagi kehidupan yang kekal abadi di akhirat.”

Inti pati pesanan Umar itu mengandungi tiga elemen yang seharusnya kita pegang kukuh sebagai panduan hidup.

Pertama, berkenaan kesedaran bahawa usia kita akan terus menuju puncak akhir, iaitu saat kematian. Hal ini sangat penting kerana tanpa adanya rasa di hati bahawa usia kita semakin lanjut akan mengakibatkan kita terus lalai mengejar nikmat dunia tanpa memperhitungkan bekalan akhirat.

Abdulullah bin Umar pernah memberitahu, Rasulullah SAW suatu ketika ada memegang bahunya sambil berkata: “Jadilah di atas dunia ini sebagai seorang perantau.” (Riwayat Bukhari)
Malah beliau sendiri ada bermadah: “Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah tunggu menjelangnya waktu petang. Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah tunggu menjelangnya waktu pagi. Gunakanlah peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa kamu hidup untuk persediaan matimu.”

Peringatan itu sewajar menginsafkan kita. Andainya kita seorang yang kaya, memiliki banyak harta benda, maka kita menjadi seorang kaya jiwa dengan menunaikan segala perintah Allah melalui penunaian zakat dan memperbanyakkan sedekah.

Demikianlah juga pada siapapun kita dan apa jawatan serta kedudukan kita, segala kegiatan keduniaan dijadikan sebagai amalan yang mematuhi kehendak syariat dan menjurus kepada amal makruf dan nahi mungkar untuk mendapatkan ganjaran pahala di sisi Allah.

Ingatlah amaran Sufyan at-Tsauri: “Pada zaman ini, tiada harta pada seseorang melainkan disertai oleh lima perkara tercela; iaitu panjang angan-angan, tamak yang menguasainya, bakhil yang sangat, menipisnya warak dan lupa akhirat.”

Justeru, kita yang hidup pada zaman mutakhir ini sepatutnya berhati-hati setiap waktu supaya segala yang tercela seperti dinyatakan oleh Sufyan at-Tsauri tadi tidak menjadi realiti pada diri kita sebaliknya kita sentiasa beringat-ingat akan bekalan buat akhirat kelak.

Perkara kedua yang dapat kita kutip daripada kata-kata Umar al-Khattab ialah perlunya sentiasa memperbetulkan dan menggandakan tahap amal ibadah.

Imam asy-Syafie berkata: “Jadikan hari ini lebih baik daripada hari semalam.” Ini bermakna kita sangat perlu membuat ‘pemeriksaan’ terhadap amalan yang dibuat pada hari-hari sebelumnya.

Saidina Uthman bin Affan berkata: “Saya temui manisnya ibadah dalam empat perkara. Pertama, dalam menunaikan fardu Allah. Kedua, dalam menjauhi larangan-Nya. Ketiga, dalam amal makruf dan mencari pahala Allah. Keempat, dalam nahi mungkar dan menjaga diri daripada murka Allah.”

Apakah telah kita laksanakan keempat-empat perkara dikatakan oleh Uthman. Andai kita masih ada lagi tertinggal dari empat aspek itu, bermakna kita perlu memperbetulkan sikap seterusnya melakukan transformasi mengikut perintah Allah dan yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.

Saidina Abu Bakar ada memberi petua menjadikan kehidupan di dunia ini tidak hanyut dibuai kelalaian. Kata beliau: “Gelap ada lima dan cahaya penerangnya pun ada lima, iaitu cinta pada dunia adalah gelap, cahaya penerangnya adalah takwa, dosa adalah gelap, cahaya penerangnya adalah taubat, kubur adalah gelap. Cahaya penerangnya adalah bacaan, ‘Laa ilaaa Allahu Muhammadur Rasulullah.’ Akhirat adalah gelap, cahaya penerangnya adalah amal soleh, jambatan di atas neraka adalah gelap, cahaya penerangnya adalah yakin.”

Jadi, pergunakanlah lima kaedah yang diberitahu Saidina Abu Bakar itu sebagai mekanisme menghindari diri dari alpa dan lalai terhadap hal keduniaan.

Yahya bin Mu’az berkata: “Sangatlah beruntung bagi orang meninggalkan dunia sebelum dunia meninggalkan dirinya, orang yang membangun kuburnya sebelum ia memasukinya dan orang bersikap reda kepada Tuhannya sebelum ia menemui-Nya.”

SUMBER : Berita Harian.

No comments:

Post a Comment