PERJALANAN KALI KE-2 KE SYAM.
Ketika Rasulullah s.a.w mencapai usia 25 tahun, Baginda sekali lagi bermusafir ke Syam. Ini kerana Khadijah binti Khuwailid al-Asadiyah adalah seorang saudagar yang mempunyai kemuliaan dan harta. Dia menyerahkan hartanya kepada lelaki tertentu untuk diperniagakan secara mudhorabah dan keuntungannya dibahagikan diantara mereka. Apabila Khadijah mendengar berita mengenai sifat amanah dan berkata benar yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w sehingga Baginda digelar al-amin oleh kaumnya,dia menawarkan hartanya kepada Baginda untuk diniagakan di negeri Syam. Dia menawarkan pembahagian keuntungan yang tidak pernah diberikan kepada orang lain. Perjalanan Baginda ditemani oleh Maisarah ; orang suruhan Khadijah. Kedua-duanya melakukan jual beli dan mendapat keuntungan yang besar. Dalam musafir yang dilakukan ini,banyak keberkatan yang berlaku pada diri Rasulullah. Ini menjadikan Maisarah menyayangi Baginda s.a.w.
BERKAHWIN DENGAN KHADIJAH
Apabila Rasulullah s.a.w pulang ke Mekah dan Khadijah mendapati perniagaannya mendapat keuntungan yang besar,dia t6ertarik dengan al-Amin s.a.w. Dia mengutuskan utusan untuk meminang Baginda.Ketika itu Khadijah berusia 40 tahun. Dia termasuk dikalangan orang Quraisy yang mempunyai kedudukan dan berharta. Selepas itu, al-Amin s.a.w bersama-sama beberapa orang bapa saudaranya pergi berjumpa 'Amru bin Asad ( bapa saudara Khadijah ) untuk meminang Khadijah dengan perantaraan Abu Talib. Peminangan tersebut diterima dan Baginda s.a.w dikahwinkan dengan Khadijah.
Pada hari tersebut Abu Talib berkhutbah dengan berkata : " Syukur kepada Allah yang telah menjadikan kita dikalangan anak cucu nabi Ibrahim a.s,keturunan nabi Ismail,berasal dari Ma'ad dan lahir daripada kalangan Mudhor,menjadikan kita sebagai pengurus rumah-Nya (Kaabah ) dan penjaga tanah suci-Nya,menjadikan Kaabah sentiasa dikunjungi dan tanah suci yang aman untuk kita dan menjadikan kita sebagai pemimpin manusia. Anak saudaraku ini iaitu Muhammad bin Abdullah adalah seorang lelaki yang tiada tolok bandingnya dari segi kemuliaan,kecerdikan dan kelebihannya,sekalipun tidak berharta. Harta adalah suatu yang sentiasa berkurangan dan akan habis serta merupakan pinjaman yang diminta pembayarannya. Demi Allah! selepas peristiwa ini dia akan memperolehi berita besar dan kedudukan yang tinggi. Dia datang meminang anak kemuliaanmu iaitu Khadijah. Dia telah mengemukakan maskawin sebanyak sekian. " Dengan itu perkahwinan dilangsungkan.
Sebelum perkahwinan ini, Khadijah pernah berkahwin dengan Abu Halah. Abu Halah telah meninggal dunia dan meninggalkan seorang anak lelaki bernama Halah. Halah adalah anak tiri Rasulullah s.a.w.
No comments:
Post a Comment