Mengenali hati, cara menjaga dan merawatnya
Kenapa hati?
Hati adalah juzuk terpenting dalam diri manusia. Ia ibarat raja atau penguasa dalam diri. Hatilah yang menentukan arah-tuju hidup, adapun anggota-anggota yang lain hanya mengikut sahaja. Hakikat ini telah diperingatkan oleh Nabi s.a.w. dalam sabdanya;
ألا وَإنَّ في الجَسَدِ مُضْغَةً إذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ ألاَ وَهِيَ القَلْبُ
“Ketahuilah! Sesungguhnya di dalam jasad manusia terdapat segumpal daging. Jika baik segumpal daging itu, akan baiklah jasad keseluruhannya dan jika ia rosak, akan rosaklah jasad keseluruhannya. Ketahuilah! Segumpal daging yang aku maksudkan itu ialah hati” (Riwayat Imam al-Bukhari).
Dari hadis ini kita dapat faham bahawa perjalanan diri manusia bergantung kepada hatinya. Jika hatinya bersih, elok dan soleh, maka segala tindakan dan perlakuan yang lahir dari anggota-anggota jasadnya akan turut bersih, elok dan soleh; tangan akan hanya mengambil yang bersih dan elok, mata akan melihat kepada yang elok-elok, telinga juga akan mendengar hanya bunyi yang elok, kaki akan pergi ke tempat-tempat yang elok dan begitu lah seterusnya. Namun jika hati kotor, jahat dan fasiq, maka anggota-angota badan juga akan turut menjadi sepertinya.
Kerana itu, amat penting kita mempelajari tentang hati, memberi perhatian kepadanya dan memantau keadaan hati kita dari masa ke semasa. Perubahan dalam hidup kita bermula dari hati. Hati yang perlu diislahkan terlebih dahulu sebelum kita mengislahkan jasad kerana jasad hanya akan mengekori hati kita. Perubahan yang bermula dari zahir tanpa bermula dari batin (yakni hati), perubahan itu tidak akan kekal lama. Namun jika bermula dari hati, Insya Allah ia akan ia akan kekal buat selamanya selagi hati tidak berubah.
Jenis-jenis hati manusia
Hati yang kita maksudkan bukanlah hati zahir yang dapat dilihat oleh mata kasar apabila kita membedah dada manusia. Hati yang kita maksudkan ialah hati batin yang kewujudannya dapat dirasai oleh perasaan dalaman kita, iaitu hati yang darinya lahir iman atau kufur, ikhlas atau riyak, redha atau kecewa, tenang atau resah dan sebagainya lagi dari perasaan-perasaan dalaman.
Para ulamak Islam –hasil renungan mereka terhadap al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.-, mereka membahagikan hati manusia kepada tiga jenis;
Pertama; Hati yang bersih dan selamat (qalbun salim); iaitu hati orang mukmin yang taat kepada Allah dan RasulNya, benar-benar mengasihi keduaNya, mengutamakan Allah dan Rasul dari segala yang lain dan cita-citanya tidak lain hanya untuk mencapai keredhaan Allah. Hati jenis ini bersih sepenuhnya dari kufur dan syirik dan segala jenis penyakit hati sama ada penyakit syak (ragu-ragu), riyak, ‘ujub, sum’ah, hubbud-dunya (cintakan dunia), hubbun-nafs (cintakan diri), hasad dan sebagainya. Hati inilah yang dikehendaki oleh Allah di mana di akhirat Dia tidak akan menerima melainkan hambanya yang mengadapNya dengan membawa hati jenis ini. Firman Allah;
“(Hari kebangkitan itu) ialah hari yang tidak akan memberi manfaat harta benda dan anak pinak, melainkan orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang salim (bersih dan selamat)”. (asy-Syu’arak: 88)
Berkata Imam Hasan al-Basri; “Ubatilah hati kamu kerana Allah hanya mengingini dari hamba-hambaNya hati yang baik dan soleh”. (al-Wafi, Dr. Wahbah az-Zuhaili, hlm. 40).
Kedua; Hati yang mati; iaitulah hati orang kafir dan munafik. Hati ini tidak mengenal Allah, tidak beriman kepadaNya dan tidak menyembahNya. Hati inilah yang paling keji di sisi Allah. Firman Allah;
“Sesungguhnya makhluk bergerak yang bernyawa yang paling buruk pada pandangan Allah ialah orang-orang kafir, kerana mereka tidak beriman”. (al-Anfal: 55)
Ketiga; Hati yang sakit; iaitu hati orang beriman yang fasiq. Hati ini bebas dari kufur, tetapi masih terbelenggu dengan penyakit-penyakit hati (atau sebahagiannya) seperti riyak, ‘ujub, sum’ah, hubbud-dunya (cintakan dunia), lupakan akhirat, sombong, takabbur dan sebagainya. Hati ini adalah hati yang dimiliki oleh kebanyakan orang beriman hari ini. Di dalam hati mereka ada perasaan cinta kepada Allah dan RasulNya, namun pada masa yang sama perasaan cintakan dunia dan hawa nafsu pun ada juga, menyebabkan hati mereka terumbang-ambing. Adakalanya, perasaan cintakan Allah dan RasulNya lebih kuat, maka ketika itu mereka mengutamakan akhirat ke atas dunia. Namun ada ketikanya, perasaan cintakan dunia dan hawa nafsu lebih kuat, maka ketika itu mereka mengutamakan dunia dan hawa nafsu. Hati jenis ini walaupun lebih baik jika dibandingkan dengan hati orang kafir (yakni hati yang yang mati tadi), namun ia tidak selamat kerana ia masih terbelenggu dengan penyakit-penyakit hati.
Dari ketiga-tiga jenis hati di atas, sudah tentu hati yang ingin kita miliki ialah hati yang pertama kerana hati itulah yang dikehendaki Allah dari kita.
Jenis penyakit hati
Penyakit hati ada dua jenis, iaitu;
1. Penyakit syubhah (syak dan ragu); terkandung di dalamnya penyakit kejahilan, ragu-ragu antara hak dan batil, antara hidayah dan kesesatan, antara jalan yang lurus dan jalan yang bengkok. Antara ayat Allah yang menyentuh tentang penyakit syubhah dalam hati manusia ialah firmanNya tentang orang munafik;
“Dalam hati mereka (orang-orang munafik) terdapat penyakit (syak dan ragu), maka Allah tambahkan lagi penyakit itu kepada mereka”. (al-Baqarah: 10)
2. Penyakit syahwat; iaitu penyakit-penyakit yang lahir dalam hati kerana kecintaan kepada diri sendiri, dunia, harta dan wanita seperti penyakit riyak, ‘ujub, sombong, takabbur, gilakan pangkat dan kemasyhuran, bakhil, lupakan akhirat, hasad dan sebagainya. Antara ayat Allah yang menjelaskan tentang penyakit syahwat di dalam hati ialah;
“Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu)”. (al-Ahzab: 32)
Penyakit hati di dalam ayat di atas menurut ulamak ialah penyakit syahwat khususnya nafsu kepada wanita.
Ubat bagi penyakit syubhah ialah ilmu. Sementara bagi penyakit syahwah pula ubatnya ialah taat. Apabila seseorang berilmu, akan hilang lah dari hatinya keraguan dan kejahilan terhadap Allah dan ajaranNya. Dan apabila dalam hidupnya ia mengutamakan ketaatan kepada Allah, akan hilang lah pula penyakit syahwat dari hatinya.
Al-Quran adalah penawar bagi penyakit hati
Kedua-dua penyakit di atas, penawar dan penyembuhnya ialah al-Quran. Al-Quran menjelaskan kepada manusia mana yang hak dan mana yang batil, mana jalan hidayah dan mana jalan kesesatan, maka dengan itu akan hilanglah penyakit syubhah (syak dan ragu) dari hati manusia. Begitu juga, al-Quran mendidik manusia agar mencintai Allah dan RasulNya, mengutamakan Allah dan Rasul dari keinginan duniawi dan mengutamakan akhirat yang kekal abadi dan dunia yang fana ini, di mana dengan itu akan hilang lah penyakit syahwat dari bersarang di dalam hati manusia.
Peranan al-Quran dalam merawat dan menyembuhkan penyakit-penyakit hati dinyatakan sendiri oleh Allah dengan firmanNya;
“Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman”. (Yunus: 57)
Berkata Imam Ibnul-Qayyim; “al-Quran adalah penawar bagi penyakit-penyakit yang ada di dalam dada manusia yang terdiri dari penyakit kejahilan dan juga penyakit kesesatan. Penyakit kejahilan ubatnya ialah ilmu dan hidayah. Sementara penyakit kesesatan pula, ubatnya ialah tuntunan Ilahi (ar-Rusyd). Kedua-dua penyakit ini telah dibersihkan Allah dari hati Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana firmanNya;
“Demi bintang semasa ia menjunam. Rakan kamu (Nabi Muhammad yang kamu tuduh dengan berbagai tuduhan itu), tidaklah ia menyeleweng (dari jalan yang benar) dan ia juga tidak sesat”. (an-Najm: 1-2)
(Ighasah al-Lahfan, halaman 28).
Tanda-tanda hati yang berpenyakit dan hati yang salim
Setelah mengetahui jenis-jenis penyakit hati, perlu pula kita mengetahui tanda-tanda hati yang berpenyakit dan tanda-tanda hati yang sihat (bersih dan selamat). Tujuannya ialah supaya kita dapat memastikan; di mana kedudukan hati kita? Jika hati kita tergolong dalam kelompok hati yang sakit, maka hendaklah bersegera kita mengubatinya sebelum kita mati dan mengadap Allah dengan hati yang sakit itu yang tentunya kita tidak akan diizinkan untuk memasuki syurgaNya. Jika kita mendapati hati kita salim (bersih dan selamat) –alhamdulillah-, maka hendaklah kita menjaganya agar terus selamat hinggalah kita mati. Namun jika kita dapat hati kita mati –wal’iyazu billah-, maka hendaklah kita meyakini bahawa Allah berkuasa menghidupkan makhluknya yang mati;
“Ketahuilah bahawa Allah menghidupkan bumi sesudah matinya. Sesungguhnya Kami telah menjelaskan kepada kamu keterangan-keterangan dan bukti, supaya kamu memahaminya”. (al-Hadid: 17)
Tanda-tanda hati yang sakit
1. Hati yang sakit tidak membisikkan kepada tuannya untuk mencapai tujuan hidup iaitu untuk mengenali Allah, mencintaiNya, merindui untuk bertemu denganNya, kembali kepadaNya dan mengutamakanNya dari segala bentuk syahwat (yakni keinginan diri kepada dunia, keseronokan, harta dan wanita). Oleh itu, seorang hamba yang memiliki hati yang sakit, ia lebih mengutamakan kepentingan diri dan syahwatnya dari mentaati Allah dan menyintaiNya. Hidupnya adalah dengan bertuhankan hawa nafsunya sendiri sebagaimana firman Allah;
“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) orang yang telah menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Dapatkah engkau menjadi pelindungnya (dari kesesatan)?”. (al-Furqan; 43)
2. Orang yang mempunyai hati yang sakit, antara tandanya ialah ia tidak kisah dengan dosa dan maksiat. Apabila ia melakukan maksiat, ia tidak rasa berdosa, resah atau gelisah kerana melanggar perintah Allah. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih, hatinya akan berasa sakit dan pedih apabila tersilap atau tersengaja melakukan dosa, lalu ia segera kembali kepada Allah dan bertaubat kepadaNya. Firman Allah tentang sifat-sifat orang bertakwa;
“(Dan antara tanda orang bertakwa ialah) orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka - dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya)”. (Ali Imran: 135)
3. Orang yang mempunyai hati yang sakit, ia tidak kisah dengan kejahilan dirinya. Ia tidak berasa resah dan gelisah sekalipun menyedari diri jahil tentang kebenaran. Akibatnya, ia tidak berusaha mencari ilmu. Berbeza dengan orang yang memiliki hati yang bersih. Ia tidak senang duduk apabila menyedari diri masih jahil. Ia akan berusaha menuntut ilmu bagi membuang kejahilannya. Berkata ulamak; “Tidak ada maksiat yang dilakukan oleh hamba yang lebih keji dari membiarkan diri dalam kejahilan”. Pernah ditanya kepada Imam Suhail; “Apakah perkara yang lebih buruk dari kejahilan?”. Ia menjawab; “Jahil tentang kejahilan diri sendiri”.
4. Antara tanda orang yang hatinya sakit ialah ia berpaling dari makanan-makanan yang memanfaatkan hatinya, sebaliknya ia cenderung kepada racun-racun yang merosakkan hatinya. Makanan-makanan hati ialah ilmu dan ibadah termasuklah solat, zikrullah, bacaan al-Quran dan sebagainya. Adapun racun bagi hati ialah dosa dan maksiat. Orang yang memiliki hati yang sakit, ia lebih suka mendengar hiburan-hiburan yang melalaikan dari mendengar ayat-ayat al-Quran, majlis ilmu dan sebagainya lagi dari perkara-perkara yang mendekatkan diri kepada Allah. Baginya kelazatan melakukan maksiat lebih hebat dari kelazatan taqarrub kepada Allah. Padahal Nabi s.a.w. bersabda; “Akan merasai kelazatan iman sesiapa yang redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad sebagai Nabinya”. (Riwayat Imam Muslim)
5. Orang yang hatinya sakit, ia menjadikan dunia sebagai watannya; ia redha dengan dunia dan berasa tenang dengan kehidupan di dunia, lalu ia tidak mengharapkan akhirat dan tidak melakukan persediaan untuk akhirat. Ia tidak mengambil sikap seperti yang dipesan oleh Nabi s.a.w.; “Hiduplah kamu di dunia ini seolah-olah kamu orang asing atau seorang pengembara”. (Riwayat Imam al-Bukhari).
Tanda-tanda hati yang sihat
1. Hati yang sihat, tandanya yang pertama ialah cintakan Allah dan tanda kecintaannya kepada Allah ialah; tuannya banyak berzikir kepada Allah. Hati ibarat periuk dan lidah adalah senduknya. Senduk mengeluarkan apa yang di dalam periuk. Lidah pula mengeluarkan apa yang ada di dalam hati. Jika di dalam hati penuh dengan perasaan cintakan kepada Allah, maka akan lahirlah di lidah zikrullah. Namun jika di dalam hati penuh dengan kufur, fasiq dan maksiat, maka akan lahirlah di lidah umpatan, adu-domba, ucapan kotor dan mencarut.
2. Hati yang sihat sentiasa menyedarkan tuannya supaya kembali kepada Allah; bergantung harap pada Allah umpama seorang pencinta yang terdesak bergantung harap kepada orang yang dicintainya. Ia merasakan tidak ada kehidupan, tidak ada kejayaan, tidak ada kenikmatan dan tidak ada keseronokan kecuali dengan redha Allah dan hampirnya ia dengan Allah. Dengan Allah ia merasai tenang dan tenteram, kepada Allah ia berlindung dan bertawakkal, kepada Allah jua ia yakin dan percaya, menaruh harapan dan menyimpan rasa takut.
3. Di antara tanda hati yang sihat ialah jasad suka berbakti dan berkhidmat kepada Allah tanpa ada rasa jemu di hati. Rasulullah s.a.w. menunaikan solat hingga bengkak-bengkak kakinya. Apabila dipersoalkan kenapa beliau bersusah diri untuk beribadah hingga sedemikian rupa, beliau menjawab; “Aku ingin menjadi hamba yang bersyukur” (Riwayat Imam al-Bukhari). Yahya bin Mu’az pernah berkata; “Sesiapa merasa seronok berkhidmat kepada Allah, nescaya segala benda seronok berkhidmat kepadanya. Sesiapa yang senang matanya melihat perkara yang diredhai Allah, nescaya semua orang senang melihat kepadanya”.
4. Antara tanda hati yang sihat ialah seseorang itu amat menjaga waktu dan hartanya dari dibazirkan kepada perkara-perkara di luar dari ketataan kepada Allah. Ia menyedari bahawa waktu dan harta adalah modal yang dikurniakan Allah untuknya bagi dilaburkan untuk mendapat keuntungan di akhirat. Kerana itu, setiap saat dari waktunya dan setiap sen dari hartanya akan digunakan untuk mentaati Allah bagi mendapatkan pahala dan keredhaan dariNya.
5. Antara tanda sihat dan bersihnya hati seseorang ialah perhatiannya terhadap kesahihan dan penerimanaan Allah terhadap amalannya lebih diutamakan dari amalan itu sendiri. Yang di ambil kira bukan banyaknya amalan, tetapi keelokan amalan dan penjagaannya dari perkara-perkara yang merosakkannya. Kerana itu, orang yang bersih hatinya sentiasa menjaga keikhlasan dan ikutan kepada as-Sunnah dalam setiap amalannya kerana ia mengetahui bahawa tanpa keikhlasan dan tanpa mengikuti petunjuk Nabi s.a.w., amalan yang dilakukannya tidak akan diterima Allah.
6. Di antara tanda sihatnya hati seseorang ialah apabila ia tertinggal wiridnya atau sesuatu dari amalan taat, ia rasa kecewa dan rugi lebih dari perasaan rugi yang dirasai oleh orang yang kehilangan harta dan keluarga. Ia menyedari bahawa tertinggal wirid dan amalan ketaatan itu merupakan kerugian di akhirat. Tidak ada apa-apa pada kerugian duniawi jika dibandingkan dengan kerugiaan di akhirat. Harta benda dunia akan musnah, adapun kenikmatan di sisi Allah di akhirat tidak akan musnah selamanya.
“Apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal”. (an-Nahl: 96)
7. Seorang hamba yang hatinya sihat dan bersih, keinginannya hanya satu iaitu untuk mentaati Allah. Perasaan dalaman yang menggerakkannya ialah cintanya kepada Allah dan harapannya untuk merasai kelazatan melihat wajah Allah.
“Dan (sebaliknya) akan dijauhkan (azab neraka) itu daripada orang yang sungguh bertaqwa. Yang mendermakan hartanya dengan tujuan membersihkan dirinya dan hartabendanya, sedang ia tidak menanggung budi sesiapapun yang patut di balas, hanyalah mengharapkan keredaan Tuhannya yang maha tinggi”. (al-Lail: 17-20)
8. Seorang yang hatinya sihat dan bersih, kalam Allah adalah ucapan yang paling disukainya. Berkata Ibnu Mas’ud r.a.; “Sesiapa ingin mengetahui apakah ia kasih kepada Allah atau tidak, hadapkan dirinya kepada al-Quran. Jika ia kasih kepada al-Quran, itu maknanya ia kasih kepada Allah kerana al-Quran adalah Kalam Allah”. Diceritakan bahawa beliau (yakni Ibnu Mas’ud) mencium mushaf al-Quran dan berkata; “Kalam Tuhanku! Kalam TuhanKu”.
9. Antara tanda hati yang salim ialah mengutamakan akhirat dari dunia. Berkata Imam Ibnu al-Qayyim; “Selagi hati selamat dari penyakitnya, ia akan berjalan menuju akhirat dan menghampirinya hingga menjadilah ia ahlul-akhirah (golongan yang beramal untuk akhirat). Namun apabila hati sakit, ia akan melebihkan dunia dan menjadikan dunia watannya hingga menjadilah ia alul-dunya (golongan yang beramal semata-mata untuk kepentingan duniawi”. (Ighasah al-Lahfan, halaman 94-95).
Punca hati menjadi sakit?
Hati manusia menjadi sakit berpunca dari dosa. Dosa menjauhkan hati dari Allah. Apabila hati jauh dari Allah, mudahlah ia ditimpa dengan bermacam-macam penyakit. Sabda Nabi s.a.w.; “Seorang hamba jika ia melakukan suatu dosa, akan muncul lah satu titik hitam di dalam hatinya. Jika ia meninggalkan dosa itu, kemudian ia beristighfar dan memohon ampun (dari Allah), akan gilaplah kembali hatinya. Namun jika ia kembali melakukan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam dalam hatinya hingga akhirnya meliputi keseluruhan hatinya. Inilah yang dimaksudkan dengan ar-Ran yang disebut Allah dalam firmanNya;
“Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan”. (al-Mutoffifin; 14)
(Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.)
Imam Abdullah bin al-Mubarak bermadah;
رَأيْتُ الذُنُوبَ تُمِيتُ الْقُلُوْبَ
وَقَدْ يُوْرِثُ الذُّلَّ إِدْمَانُهَا
وَتَرْكُ الذُّنُوْبِ حَيَاةُ الْقُلُوْبِ
وَخَيْرٌ لِنَفْسِكَ عِصْيَانُهَا
Aku lihat dosa-dosa itu mematikan hati,
Berterusan melakukannya mengakibatkan kehinaan,
Meninggalkan dosa pula menghidupkan hati,
Mengingkarinya membawa kebaikan kepada diri.
Empat punca dosa
Dosa-dosa dan maksiat ke semuanya adalah racun bagi hati. Kesan racun itu adakalanya menyebabkan hati sakit dan adakalanya sampai mematikannya. Punca dosa pula paling utama ada empat perkara;
1. Terlebih bercakap
Terlebih bercakap bermakna terlalu banyak bercakap (yang lain dari Zikrullah) sehingga terbit dari lidah ucapan-ucapan yang dimurkai Allah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. berkata; “Tidak akan lurus iman seseorang sehingga hatinya lurus dan tidak akan lurus hatinya sehingga lidahnya lurus” (Riwayat Imam Ahmad dari Anas r.a.). Saidina ‘Umar r.a. berpesan; “Sesiapa banyak cakapnya akan banyaklah tergelincirnya, sesiapa yang banyak tergelincirnya akan banyaklah dosa-dosanya dan sesiapa yang banyak dosanya maka api neraka paling utama baginya”.
“Sesiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, hendaklah ia bercakap yang baik-baik atau hendaklah ia senyap sahaja”. (Hadis Nabi s.a.w., riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
“Semua ucapan anak Adam akan menjadi bebanan ke atasnya bukan menjadi keuntungan baginya kecuali;
a. Menyeru kepada makruf
b. Mencegah dari munkar
c. Berzikir kepada Allah.
(Hadis Nabi s.a.w., riwayat Imam at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Ummu Habibah r.a.)
2. Terlebih melihat
Terlebih melihat juga akan merosakkan hati. Maksud terlebih melihat ialah kita tidak menjaga pandangan kita dari melihat perkara-perkara haram yang boleh membangkitkan nafsu seperti memerhati wanita dengan tujuan berseronok, melihat aurat orang yang bukan mahram kita atau kita memerhati dan mengintai kekurangan orang lain untuk mendedahkan keaibannya. Di dalam al-Quran, Allah memerintahkan orang beriman agar menjaga pandangan mereka; “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada lelaki-lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)….”. (an-Nur; 30) “…dan katakanlah kepada perempuan-perempuan beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram)…”. (an-Nur: 31)
Kesan pandangan kepada hati dijelaskan oleh Nabi dalam sabdanya;
اَلنَّظْرَةُ سَهْمٌ مِنْ سِهَامِ إِبْلِيْس، مَنْ تَرَكَهَا مِنْ مَخَافَةِ اللهِ أَعْطَاهُ اللهُ إِيْمَانًا يَجِدُ حَلاَوَتَهُ فِي قَلْبِهِ.
“Pandangan adalah satu panahan dari panahan-panahan beracun Iblis. Sesiapa meninggalkan pandangannya (dari melihat kepada yang haram) kerana takutkan Allah, nescaya Allah akan kurniakan kepadanya iman yang ia rasainya kemanisannya di dalam hatinya”. (Riwayat Imam al-Hakim dari Huzaifah r.a.)
Imam Ahmad meriwayat dari Abu Umamah r.a. yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w. bersabda;
مَاْ مِنْ مُسْلِمٍ يَنْظُرُ إِلَى مَحَاسِنِ امْرَأَةٍ ثُمَّ يَغُضُّ بَصَرَهُ إَلاَّ أَخْلَفَ اللّهُ لَهُ عِبَادَةَ يَجِدُ حَلاَوَتَهَا
“Tidak ada seorang muslim yang melihat kepada keelokan-keelokan seorang wanita, lalu ia menahan pandangannya (yakni ia berpaling dari melihatnya) kerana takutkan Allah, melainkan Allah akan menggantikan untuknya ibadah yang ia rasai kemanisannya”. (Lihat hadis ini dalam Tafsir Ibnu Kathir, surah an-Nur, ayat 30).
3. Terlebih makan
Makanan yang kita makan akan memberi kesan kepada hati kita. Elakkan dari makanan-makanan yang haram atau yang diperolehi dari jalan-jalan yang haram kerana ia boleh mematikan hati atau sekurang-kurangnya merosakkannya. Nabi Muhammad s.a.w. pernah meninggalkan pesan kepada sahabatnya bernama Sa’ad r.a.; “Wahai Saad! Perelokkanlah makanan kamu, nescaya kamu akan dimustajabkan doa. Demi Tuhan yang diri Muhammad berada dalam kekuasaanNya, sesungguhnya seorang itu apabila telah menyuapkan sesuap makanan haram ke dalam mulutnya, nescaya tidak akan diterima doanya (oleh Allah) selama 40 hari. Mana-mana hamba yang tumbuh/membesar daging badannya dari makanan yang haram dan riba, maka api neraka lebih utama baginya”. (Riwayat al-Hafidz Ibnu Mardawaih dari ‘Atak dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
Selain itu, makanlah dengan kadar yang sederhana. Janganlah berlebih-lebihan kerana Allah memerintahkan;
“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan (membazir)”. (al-A’raf: 31)
Mengikut sunnah Nabi s.a.w., kadar paling banyak kita makan ialah sekadar memenuhi 1/3 sahaja dari perut kita. Sabda Nabi s.a.w.; “Tidak ada bekas yang diisi oleh anak Adam yang lebih buruk dari perutnya. Cukuplah seseorang anak Adam itu makan dengan kadar beberapa suapan sahaja untuk menegakkan tulang sulbinya. Jika tidak mampu, jadikanlah 1/3 dari bahagian perutnya untuk makanan, 1/3 untuk minuman dan 1/3 lagi untuk pernafasan”. (Riwayat Imam an-Nasai, Ibnu Majah dan at-Tirmizi dari al-Miqdam bin Ma’diyakrib r.a.)
Ibrahim bin Adham pernah berkata; “Sesiapa dapat menjaga perutnya, nescaya ia akan dapat menjaga agamanya. Sesiapa mampu berlapar, nescaya ia memiliki akhlak-akhlak yang soleh. Sesungguhnya maksiat jauh dari orang yang lapar dan hampir dengan orang yang kenyang”. Seorang ahli soleh pernah berkata; “Janganlah kamu makan banyak kerana nanti kamu akan minum banyak, lalu tidur kamu pun banyak dan akhirnya kerugian kamu pun banyak juga”.
4. Terlebih berkawan
Kawan juga mempunyai pengaruh terhadap hati kita. Jika kita berkawan dengan orang yang bersih hatinya, hati kita juga Insya-Allah akan turut bersih. Jika kita berkawan dengan orang-orang yang hatinya kotor, akhirnya hati kita juga akan turut menjadi kotor. Kerana itu Nabi s.a.w. berpesan; “Seseorang itu berada di atas agama temannya. Maka hendaklah setiap orang dari kamu memerhati dengan siapa ia berteman” (Riwayat Imam Abu Daud dan at-Tirmizi dari Abu Hurairah r.a.).
Para ulamak membahagikan jenis kawan kepada tiga;
a) Kawan yang diibaratkan seperti makanan; iaitu perlu selalu bergaul dan bersamanya sama seperti kita perlu mengambil makanan setiap hari untuk tubuh kita. Kawan seumpama ini ialah dari kalangan orang-orang berilmu, bertakwa dan soleh. Semakin banyak kita berkawan dengan orang-orang berilmu, bertakwa dan soleh, maka baik untuk hati kita.
b) Kawan yang diibaratkan seperti ubat; iaitu kita bergaul dengannya ketika perlu sahaja sama seperti kita mengambil ubat ketika kita sakit sahaja. Kawan jenis ini ialah dari kalangan orang-orang yang kita memerlukan mereka untuk urusan duniawi sahaja iaitu urusan kehidupan seperti jual-beli, perniagaan dan sebagainya. Kita tidak perlu terlalu rapat dan terlalu kerap bergaul dengan mereka kerana ia tidak memberi manfaat kepada kebaikan agama dan hati kita. Cukup kita bergaul dengan mereka dengan kadar yang dapat menyempurnakan urusan kita sahaja. Kecualilah jika mereka tergolong dalam kelompok orang berilmu dan soleh seperti di atas, maka haruslah kita bergaul rapat dengan mereka kerana di samping memenuhi tuntutan duniawi, dapat juga kita mengambil manfaat dari keilmuan dan kesolehan mereka.
c) Kawan yang diibaratkan seperti penyakit; iaitu kita perlu menjauhi mereka sejauh-jauhnya sama seperti kita menjauhi penyakit kerana takut menjangkiti kita. Kawan jenis ini dari kalangan orang-orang fasik, kaki maksiat dan ahli Bid’ah. Orang-orang dari jenis ini sekali-kali jangan kita berkawan dengan mereka kerana nanti sikap dan perilaku mereka akan merosakkan hati kita.
Bagaimana menghidupkan hati?
Hati menjadi hidup dengan iman. Iman bermaksud meyakini sepenuhnya dengan hati akan segala yang disampaikan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dari wahyu Allah yang terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Asas-asas iman iman keyakinan kepada rukun-rukun iman yang enam. Penyempurnaan bagi iman ialah dengan menyahut seruan Allah dan RasulNya iaitu dengan mentaati segala perintah keduanya. Apabila seseorang itu yakin kepada Allah dan RasulNya dan diikuti pula dengan ia menyahut seruan keduanya iaitu mentaati mereka, maka ketika itu barulah hatinya akan hidup sebagaimana yang dapat kita fahami dari seruan Allah;
“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan seruan RasulNya apabila ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang menghidupkan kamu. Ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat di antara seseorang itu dengan hatinya, dan sesungguhnya kepadaNyalah kamu akan dihimpunkan”. (al-Anfal; 24)
Kalimah yang mengungkapkan iman ialah “Lailaha Illallah”. Kalimah ini digelar juga dengan kalimah Syahadah, kalimah at-Taqwa dan kalimah al-Ikhlas. Kalimah ini akan menghidupkan hati apabila diucapkan dengan ikhlas dan benar. Dengan mengulang-ulangkan kalimah ini, iman di dalam hati kita akan sentiasa baru dan segar. Di dalam sebuah hadis, Nabi s.a.w. berpesan kepada sahabat-sahabatnya; “Hendaklah kamu sekelian memperbaharui iman-iman kamu”. Mereka bertanya beliau; “Ya Rasulullah! Bagaimana caranya kami hendak memperbaharui iman kami?”. Baginda menjawab; “Banyaklah menyebut Lailaha Illallah” (Riwayat Imam Ahmad dan al-Hakim dari Abu Hurairah r.a.).
Antara Tahlil yang banyak fadhilatnya
Tahlil bermaksud kita berzikir dengan menyebutkan Lailaha Illallah. Selain dari lafaz yang pendek itu, ada lagi lafaz tahlil yang panjang yang banyak kelebihannya, iaitu;
لا إلهَ إلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ وَهُوَ عَلى كُلّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
“Tidak ada Tuhan melainkan Allah satu-satunya. Tiada sekutu bagiNya. Miliknya kerajaan dan milikNya jua segala pujian. Dial ah yang maha berkuasa ke atas segala perkara”.
Sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa berzikir dengan kalimat-kalimat di atas pada setiap hari sebanyak 100 kali maka ia menyamai dengan membebaskan sepuluh orang hamba, akan ditulis untuknya 100 kebaikan, akan dihapuskan darinya 100 dosa/kejahatan dan kalimat-kalimat itu akan menjadi benteng untuknya dari godaan syaitan pada hari tersebut hingga ke petangnya. Tidak ada seorang pun melakukan amalan lebih baik darinya kecuali orang yang berzikir dengan kalimat-kalimat itu lebih banyak darinya”. (Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah r.a.)
Bagaimana membersihkan hati?
Faktor hati kita menjadi kotor dan berpenyakit ialah kerana dosa dan maksiat yang kita lakukan kepada Allah. Untuk membersihkan kembali hati kita yang kotor itu, tidak ada jalan lain melainkan dengan bertaubat kepada Allah.
“Wahai orang-orang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan Taubat Nasuha. Mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai”. (at-Tahrim: 8)
Taubat bermaksud kita kembali ke pangkuan Allah dengan menyesali ketelanjuran kita dan memohon dari Allah agar Ia mengampunkan kita serta menerima semula kita sebagai hambaNya. Taubat tidak sempurna kecuali dengan menyempurnakan syarat-syaratnya, iaitu;
a) Meninggalkan maksiat dan dosa yang dilakukan
b) Menyesali ketelanjuran melakukan dosa dan maksiat tersebut
c) Berazam dengan sepenuh hati tidak akan kembali semula kepada maksiat dan dosa tersebut.
d) Jika dosa dan maksiat itu ada hubungan dengan manusia, hendaklah disusuli dengan memohon maaf dan memulangkan barang yang diambil atau minta halal dari tuannya.
Setelah bertaubat, kita hendaklah banyak beristighfar kepada Allah. Marilah kita mencontohi Nabi kita Muhammad s.a.w. di mana walaupun baginda bersih dari dosa, namun baginda lah yang paling banyak beristighfar kepada Allah. Baginda pernah berkata; “Demi Allah! Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah dan bertaubat kepadaNya pada setiap hari lebih dari 70 kali” (Riwayat Imam Ahmad dari Abu Hurairah r.a.). Di dalam riwayat yang lain, baginda berkata; “Sesungguhnya aku beristighfar kepada Allah pada setiap hari lebih dari 100 kali” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.)
Berkata Imam Hasan al-Basri; “Banyaklah beristighfar sama ada di rumah kamu, ketika kamu mengadap hidangan, ketika di jalan, ketika di pasar, ketika kamu berada di dalam majlis atau di mana saja kamu berada kerana kamu tahu bila akan turunnya keampunan Allah”.
Istighfar Nabi s.a.w.
Antara ucapan Istighfar yang pernah dibaca oleh Nabi s.a.w. ialah;
ربّ اغْفِرْ لي وَتُبْ عَلَيَّ إنَّكَ أنْتَ التَّوَّابُ الرَّحيمُ
“Tuhanku! Kurniakan lah keampunan untukku dan berilah taufik kepadaku untuk bertaubat. Sesungguhnya Engkau lah Tuhan pengampun dan penyayang”.
Menurut Ibnu ‘Umar r.a.; “Nabi s.a.w. pernah membaca istighfar di atas sebanyak 100 kali di dalam satu majlis”. (Riwayat Imam at-Tirmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah. Menurut Imam at-Tirmizi; hadis ini soheh)
Istighfar Nabi Adam a.s.
Di antara ucapan istighfar yang amat baik untuk kita amalkan ialah istighfar Adam dan Hawa, iaitu;
“Wahai Tuhan kami! Kami telah menganiaya diri kami sendiri. Jika Engkau tidak mengampunkan kami dan mengasihi kami, pasti lah kami tergolong dari kalangan orang-orang yang rugi”. (Surah al-A’raf, ayat 23).
Ucapan istighfar di atas adalah kalimah-kalimah untuk memohon ampun yang dipelajari Nabi Adam dari Allah setelah Ia dan isterinya Hawa melakukan kesalahan memakan buah dari pohon larangan. Apabila mereka berdua mengucapkan kalimah di atas, Allah lalu mengampunkan doa keduanya. Ini sebagaimana diceritakan Allah dalam firmanNya (yang bermaksud); “Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (yakni kalimah taubat), lalu Allah menerima taubatnya. Sesungguhnya Allah, Dia lah yang maha pengampun (penerima taubat), lagi maha mengasihani” (al-Baqarah, ayat 37).
Moga-moga dengan mengucapkan istighfar di atas, dosa-dosa kita juga akan diampunkan Allah sebagaimana Dia mengampunkan dosa bapa kita Adam a.s..
Penghulu Istighfar
Lafaz istighfar yang paling baik ialah;
اللَّهُمَّ أنْتَ رَبّي لا إِلهَ إِلاَّ أَنْتَ خَلَقْتَنِي وأنا عَبْدُكَ، وأنا على عَهْدِكَ وَوَعْدِكَ ما اسْتَطَعْتُ، أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرّ مَا صَنَعْتُ، أبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عليَّ وأبُوءُ بِذَنْبي، فاغْفِرْ لي فإنَّهُ لا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلاَّ أنْتَ
“Ya Allah! Engkau lah Tuhanku. Tiada Tuhan kecuali Engkau. Engkau telah menjadikanku dan aku adalah hambaMu. Aku akan mengotakan taat-setia dan janjiku padaMu selama aku mampu. Aku berlindung denganMu dari akibat buruk dari perbuatan yang aku lakukan. Aku mengakui segala nikmat yang Engkau curahkan kepadaku dan aku mengakui juga dosa-dosa yang aku lakukan. Oleh itu, kurniakan lah keampunan untukku. Sesungguhnya tidak ada yang boleh mengampunkan dosa-dosa melainkan Engkau sahaja”.
Sabda Nabi s.a.w.; “Penghulu istighfar ialah; ….(kalimah di atas)…. Sesiapa membacanya di siang hari dengan penuh yakin, lalu ia mati pada hari itu sebelum tiba petangnya, maka ia tergolong dari ahli syurga. Sesiapa membacanya di malam hari dengan yakin, lalu ia mati di malamnya sebelum tiba paginya, maka ia tergolong dari ahli syurga”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Syaddad bin Aus r.a.)
Bagaimana menjaga hati?
Hati hendaklah sentiasa dijaga agar jangan mati atau ditimpa penyakit yang merosakkannya. Bagaimana caranya untuk kita menjaga hati? Menjaga hati tidak ada jalan lain melainkan dengan mendampingi Allah. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. pernah berpesan; “Jagalah Allah, nescaya Allah akan menjaga kamu” (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.). Maksud menjaga Allah ialah menjaga hubungan dengan Allah. Apabila kita menjaga hubungan kita dengan Allah, Allah akan menjaga dan memelihara kita termasuk lah menjaga dan memelihara hati kita.
Bagaimana caranya untuk kita mendampingi Allah? Jawapannya ialah dengan kita melazimi dua perkara;
a) Zikrullah; iaitu sentiasa mengingati Allah
b) Menjauhi segala yang mendatangkan kemurkaan Allah iaitu dosa dan maksiat.
Apa maksud Zikrullah?
Zikrullah bukan hanya dengan kita melafazkan kalimah-kalimah zikir seperti Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar dan sebagainya. Zikrullah ialah satu ungkapan umum yang terangkum di dalamnya segala perbuatan yang kita lakukan yang mendekatkan kita dengan Allah Taala. Termasuk di dalam Zikrullah;
1. Menuntut ilmu; untuk mendalami al-Quran dan as-Sunnah, mengetahui perintah Allah, halal dan haram dan segala ilmu-ilmu lain yang berkait dengan agama.
2. Solat
3. Puasa
4. Zakat
5. Haji
6. Bersedekah dan Infak Fi Sabilillah
8. Membaca al-Quran
9. Berdakwah; mengajak orang lain kepada Islam
10. Menyeru kepada makruf dan mencegah dari munkar
11. Menyampaikan ilmu
12. Berjihad
13. Berdoa
14. Berzikir
15. Berselawat
16. Mengambil wudhuk, mandi dan bersuci
17. Menghidupkan sunnah Nabi dalam kehidupan; makan dan minum, berpakaian, bergaul, tidur dan sebagainya.
Kesimpulannya, Zikrullah ialah kita berada di dalam keadaan sentiasa mengingati Allah. Hakikat Zikrullah secara luas dan sempurna hanya dapat kita capai dengan kita berusaha mentaati Allah pada setiap masa kerana seseorang itu apabila ia taat kepada Allah itu bermakna ia ingat kepada Allah.
Faedah Zikrullah (mengingati Allah)
Orang yang sentiasa ingat kepada Allah, Allah akan ingat kepadanya dan menjaganya termasuk hatinya. Firman Allah;
“Maka ingatlah kepadaKu nescaya Aku akan ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu)”. (al-Baqarah: 152)
Dalam hadis, Rasulullah s.a.w. berpesan;
احْفَظِ اللَّهَ يَحْفَظْكَ
“Peliharalah Allah, nescaya Allah akan memelihara kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Ibnu ‘Abbas r.a.)
Zikrullah menguatkan hati dan menjadikan hati sentiasa tenang dan tenteram. Firman Allah;
“Ketahuilah bahawa dengan "zikrullah" itu, akan tenang tenteramlah hati-hati manusia”. (ar-Ra’du: 28)
Orang yang enggan berzikir (mengingati Allah) umpama orang yang mati. Sekalipun jasadnya hidup tetapi hati dan rohaninya telah mati. Sabda Rasulullah s.a.w.;
مَثَلُ الَّذي يَذْكُرُ رَبَّهُ وَالَّذي لا يَذْكُرُهُ، مَثَلُ الحَيِّ وَالمَيِّتِ
“Perumpamaan seorang yang berzikir mengingati Tuhannya dan orang yang tidak berzikir sama seperti orang hidup dan orang mati”. (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Musa al-Asy’ari r.a.)
Kerana pentingnya mengingati Allah, maka al-Quran memperingatkan orang-orang beriman agar janganlah kesibukan menguruskan urusan-urusan duniawi melalaikan mereka dari Zikrullah. Firman Allah;
“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah. Dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka adalah orang-orang yang rugi”. (al-Munafiqun: 9)
Kesan zikrullah terhadap hati
Berkata Syeikhul-Islam Ibnu Taimiyyah; “Peranan Zikrullah bagi hati sama seperti air bagi ikan. Bagaimana keadaan ikan jika ia dikeluarkan dari air?”. Maksud beliau ialah; ikan akan mati jika dikeluarkan dari air, maka begitu juga dengan hati; hati akan mati jika ia tidak berada dalam zikrullah. Di dalam ungkapannya yang lain, beliau berkata; “Hati amat memerlukan kepada Allah dari dua aspek; (Pertama) dari aspek ibadah. (Kedua) dari aspek meminta pertolongan dan bertawakkal… (Dari aspek ibadah), hati manusia tidak akan menjadi baik, tidak akan berjaya, tidak akan merasai nikmat dan ketenangan melainkan dengan beribadah kepada Tuhannya, mengasihiNya dan dengan kembali ke pangkuanNya…”. (Risalah al-‘Ubudiyyah Fil-Islam)
Berkata Imam Ibnul-Qayyim al-Jauziyah; “Hati hanya akan menjadi baik dan elok apabila ia mengenali Tuhan dan PenciptaNya (yakni Allah), mengetahui nama-nama Allah, sifat-sifat dan perbuatan-perbuatanNya dan mengetahui hukum-hakam Allah. Begitu juga dengan ia mengutamakan keredhaan Allah dan kecintaan kepadaNya serta menjauhi segala larangan dan kemurkaanNya. Hati selamnya tidak akan sihat dan tidak akan hidup melainkan dengan cara sedemikian..”. (Zadul-Ma’ad, 4/7).
Dosa
Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada mengabaikan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya” (Ihya’ ‘Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4, hlm. 16). Sabda Nabi s.a.w.; “Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mewajibkan beberapa kewajipan, maka janganlah kamu mengabaikannya (yakni meninggalkannya). Dan Ia telah menetapkan beberapa hudud (batasan), maka janganlah kamu melampauinya. Dan Ia telah mengharamkan beberapa perkara, maka janganlah kamu melanggarinya. Dan Ia juga telah diam dari beberapa perkara sebagai kelonggaran bagi kamu bukan kerana lupa, maka janganlah kamu cuba menyelidikinya”. (Riwayat Imam Daruqutni dan lain-lainnya dari Abi Tha’labah Jurthum bin Nasyir al-Khusyani r.a.. Riyadhus Salihin, Imam an-Nawawi, bab al-Manthuraat Wa al-Mulah)
Dosa yang dilakukan manusia terbahagi kepada dua bentuk;
Pertama; Dosa dengan Allah; iaitu dosa antara hamba dengan Allah. Dosa ini ada dua jenis pula;
a) Dosa kerana meninggalkan kewajipan-kewajipan yang diwajibkan Allah ke atas kita seperti dosa meninggalkan solat, puasa, zakat dan sebagainya.
b) Dosa kerana mengerjakan perkara yang dilarang atau ditegah Allah seperti dosa minum arak, makan riba dan sebagainya.
Kedua; Dosa dengan makhluk; iaitu yang bersangkutan dengan hak-hak hamba Allah. Dosa dari kategori ini ada beberapa jenis pula;
a) Yang berkait dengan jiwa seperti dosa membunuh, mencederakan dan sebagainya.
b) Yang berkait dengan harta seperti dosa mencuri, merompak, merampas dan sebagai.
c) Yang berkait dengan kehormatan/harga diri seperti dosa mencerca, mengumpat, menuduh dengan tuduhan palsu dan sebagainya.
d) Yang berkait dengan agama seperti dosa mengkafirkan seseorang, membid’ahkannya, menyesatkannya dan sebagainya.
(Ihya’ Ulumiddin, jil. 4, hlm. 16 dan Minhajul ‘Abidin, Imam al-Ghazali, hlm. 11)
Kesan dosa kepada hati
Dosa akan memudaratkan hati. Bermula dengan merosakkan hati hingga lah kemuncaknya iaitu mematikan hati. Ini dapat kita fahami dari hadis yang telah kita kemukakan tadi dan kita ulangi semula di sini, iaitu sabda Nabi s.a.w.; “Seorang hamba jika melakukan suatu dosa, akan muncullah satu titik hitam dalam hatinya. Jika ia menanggalkan dosa itu, kemudian beristighfar dan memohon ampun (dari Allah), akan gilaplah kembali hatinya. Namun jika ia kembali melakukan lagi dosa, maka akan bertambahlah titik hitam dalam hatinya hingga akhirnya melitupi keseluruhan hatinya. Inilah yang dimaksudkan dengan ar-Ran (الران) yang disebut Allah dalam firmanNya;
“Sebenarnya (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya), bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran dengan sebab (perbuatan kufur dan dosa) yang mereka lakukan”. (al-Muthaffifin: 14)
(Hadis riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi, an-Nasai, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dan al-Baihaqi dari Abu Hurairah r.a.)
Akibat dosa kepada kehidupan
Selain merosakkan hati, dosa juga akan memberi kesan kepada kehidupan secara keseluruhannya. Menurut Imam Ibnul-Qayyim; “Perbuatan dosa dan maksiat akan melahirkan beberapa kesan kepada diri dan kehidupan manusia iaitu;
1. Kurang mendapat taufiq (petunjuk) dari Allah
2. Rosaknya pandangan dan aqal fikiran
3. Terhijabnya diri dari mengenali kebenaran
4. Hati menjadi rosak
5. Rendah sebutan nama di sisi manusia
6. Waktu dalam kehidupan mereka akan terbuang sia-sia
7. Tidak disukai oleh makhluk Allah
8. Hubungan dengan Allah akan renggang
9. Doa akan terhijab (yakni tidak akan dimakbulkan Allah)
10. Hati akan menjadi keras
11. Tidak ada keberkatan pada rezki dan umur.
12. Terhalang dari mendapat ilmu
13. Hidup berterusan dalam keadaan hina-dina
14. Akan dihina atau diperlekehkan oleh musuh
15. Dada sentiasa merasa sempit dan resah (yakni tidak ada ketenangan dan ketenteraman dalam hidup)
16. Diuji oleh Allah dengan teman atau kawan yang jahat.
17. Sentiasa dalam keadaan duka-cita dan kebimbangan.
18. Kehidupan dan rezki menjadi sempit
19. Fikiran sentiasa resah dan tidak tenteram
(Al-Fawaid, al-‘Allamah Ibnul Qayyim al-Jauziah, hlm. 67.)
Melihat kepada kesan-kesan dosa di atas, marilah kita berazam untuk menjauhi dosa supaya hati kita sentiasa bersih dan hidup kita sentiasa selamat.
Hati mudah berbolak-balik
Hati amat mudah berubah dan berbolak-balik. Hari ini kita taat kepada Allah. Tidak mustahil esok kita engkar kepadaNya jika kita tidak menjaga hati kita. Rasulullah s.a.w. bersabda;
إِنَّمَا سُمِّيَ الْقَلْبُ مِنْ تَقَلُّبِهِ إِنَّمَا مَثَلُ الْقَلْبِ مِثْلُ رِيْشَةٍ بِالْفَلاَةِ تَعَلَّقَتْ فِي أَصْلِ شَجَرَةٍ يُقَلِّبُهَا الرِّيْحُ ظَهْرًا لِبَطْنٍ
“Sesungguhnya dinamakan (hati) dengan al-qalb kerana mudahnya ia berbolak-balik. Hati dapat diumpamakan seperti sebatang bulu (ayam/burung) di tengah padang yang tersangkut di pokok, lalu dibolak-balikkan oleh angin ke atas dan ke bawah”. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Abu Musa r.a.)
Oleh itu, hati mesti ditanamkan di dalamnya sifat Istiqamah. Istiqamah hati bermaksud keazamannya untuk terus kekal di atas jalan Allah iaitu jalan al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w., tanpa berpaling darinya kepada kekufuran, dosa atau maksiat. Diriwayatkan dari Sufyan Ibn ‘Abdullah r.a. menceritakan; ‘Aku telah berkata kepada Rasulullah s.a.w.; Ya Rasulullah! Nyatakan untukku di dalam Islam ini satu ungkapan yang mana aku tidak akan bertanya lagi tentangnya dari orang lain selain engkau’. Jawab Rasulullah s.a.w.;
قُلْ آمَنْتُ باللَّهِ ثُمَّ اسْتَقِمْ
‘Katakanlah; ‘Aku beriman kepada Allah’ dan kemudian hendaklah kamu istiqamah’.
(Hadis riwayat Imam Ahmad, an-Nasai, Muslim, at-Tirmizi dan Ibnu Majah)
Doa agar diteguhkan hati oleh Allah
Selain menanamkan sifat istiqamah, kita juga perlu senantiasa memohon dari Allah agar Ia meneguhkan hati kita di atas jalanNya. Di dalam hadis, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa hati-hati manusia keseluruhannya berada di antara dua jari dari jari-jari Tuhan yang maha rahman seumpama hati yang satu di mana Dia berkuasa mengubahnya ke mana yang Ia kehendaki. Kemudian Nabi berdoa;
اللَّهُمَّ مُصَرِّفَ الْقُلُوبِ، صَرِّفْ قُلُوبَنَا عَلَىَ طَاعَتِكَ
“Ya Allah! Tuhan yang berkuasa memalingkan hati-hati. Palingkanlah hati-hati kami (dari kekufuran, dosa dan maksiat agar ia berada di atas) ketaatan kepadaMu”.
(Riwayat Imam Muslim dari ‘Amru bin al-‘As r.a.)
Nabi juga pernah berdoa;
يا مُقَلِّبَ القُلُوبِ وَالأَبْصَارِ ثَبِّتْ قُلُوبَنا على دِينِكَ
“Wahai Tuhan yang berkuasa mengubah hati-hati dan pandangan-pandangan, teguhkanlah hati kami di atas agamaMu”. (Riwayat Imam Ibnu as-Sunni dari Ummu Salamah r.a.)
Baginda juga pernah berdoa;
يَاْ مُثَبِّتَ الْقُلُوْبِ ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِيْنِكَ
“Wahai Tuhan yang meneguhkan hati-hati, teguhkan lah hati-hati kami di atas agamaMu”. (Riwayat Imam Ibnu Majah dari an-Nawwas bin Sam’an r.a.)
Amat baik sekali salah satu dari doa Nabi di atas kita jadikan amalan tetap kita pada setiap hari.
***والله أعلم بالصواب***
Selesai ditulis pada Ramadhan 1429 Hijrah bersamaan September 2008. Semoga Alah memberkati tulisan ini dan mengurniakan keampunan untuk penulisnya. Amin, ya Rabbal-Alamin.
USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL