1. Berzikir menggunakan Isim Mufrad (الله) adalah harus, berdalilkan firman Allah Ta'ala:
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ وَتَبَتَّلْ إِلَيْهِ تَبْتِيلًا
Maksudnya : "Sebutlah nama Tuhanmu dan beribadahlah kepadaNya dengan ketekunan" (Surah Al-Muzammil:8)
Firman Allah Ta'ala :
وَاذْكُرِ اسْمَ رَبِّكَ بُكْرَةً وَأَصِيلًا
Maksudnya: "Dan sebutlah/berzikirlah dengan nama Tuhanmu pada waktu pagi dan petang." (Surah Ad-Dahr: 25)
Firman Allah Ta'ala :
قُلِ اللَّهُ ۖ ثُمَّ ذَرْهُمْ فِي خَوْضِهِمْ يَلْعَبُونَ
Maksudnya: "Katakanlah: Allah, kemudian biarkanlah mereka bermain." (Surah Al-An'am: 91)
Telah warid daripada Rasulullah Shallallahu 'alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Saiyidina Anas Bin Malik radhiyallahu 'anhu:
عن أنس بن مالك رضي الله عنه عن النبي صلى الله عليه وسلم: لا تقوم الساعة حتي لا يقال في الأرض : الله الله.
عن أنس بن مالك رضي الله عنه قال: قال رسول الله صلى الله: لا تقوم الساعة على أحد يقول: الله الله.
"Tidak berlaku kiamat sehingga tiada lagi yang berkata :
Allah.. Allah.. "
(Dikeluarkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya, Kitab Al-Iman. Imam Tirmizi dalam Kitab Al-Fitan, Kata beliau Hadis Hasan. Juga dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Musnadnya)
Al-Allamah Ali Al-Qari rahimahullah dalam menghuraikan hadis ini berkata : "Maksudnya ialah tidak disebut Allah, maka tiada lagi hikmah untuk mengekalkan manusia di atas muka bumi ini. Difahami bahawa alam ini kekal kerana berkat para ulama' para amilin, abid solehin dan mukminin umumnya. Inilah yang dikehendaki dengan kata-kata At-Toyyibi radhiyallahu 'anhu : "Sehingga tidak disebut الله الله bermaksud sehingga tidak disebut nama Allah dan tidak disembah".
(Mirqatul Mafatih Syarah Misykatil Masabih, Karangan Mulla Ali Al-Qari: Jilid 5 m/s :226)
2. Tegasnya Ayat-ayat Al-Quran dan Hadits-hadits Asy-Syarif yang menggalakkan berzikir telah datang secara umum dan mutlak tanpa dikhususkan dengan zikir-zikir tertentu.
Tambahan pula tidak ada nas syar'ie yang mengharamkan zikir dengan Isim Mufrad (الله)
Dari sini telah nyata kesalahan sesetengah pihak yang terlalu cepat menentang zikir dengan kalimah الله .
3. Sesetengan yang lain pula menolak dengan alasan ianya tidak tergolong dalam ayat yang sempurna yang memberi maksud sebagaimana yang kita ucapkan : الله أكبر "Allah Maha Agung".
Jawapan kepada persoalan di atas :
Orang yang berzikir dengan Isim Mufrad (الله) tersebut tidak bercakap dengan makhluk, maka ayat tersebut tidak disyaratkan menjadi ayat yang sempurna dan memberi maksud atau makna yang lengkap.
Ini kerana dia berzikir 'mengingati' Allah Yang Maha Mengetahui dan Maha Melihat diri dan hati orang yang berzikir.
Secara tegasnya jumhur ulamak telah menaskan/menyatakan secara teks dalam kitab-kitab mereka bahawa 'HARUS' berzikir dengan kalimah Allah (الله) .
4. Berkata Ibnu Abidin rahimahullah dalam Hasyiahnya yang masyhur ketika menghuraikan Basmalah dan perbincangan mengenai lafaz 'Allah' : Diriwayatkan oleh Hisyam daripada Muhammad daripada Abu Huzaifah bahawa ia - yakni lafaz Allah merupakan Ismul Al- 'Azam.
Begitu pula dikatakan oleh At-Tohthowi rahimahullah : "Dan ramai dari kalangan ulamak dan kebanyakan arifin -berzikir dengannya (kalimah Allah) sehingga di sisi mereka, tiada lagi zikir untuk orang yang telah mempunyai maqam (yang tinggi) melebihi zikir dengan Isim Mufrad". Sebagaimana dalam Syarah Tahrir karangan Amir Hajj.
(Hasyiah Ibnu Abidin, Jilid 1 m/s: 5)
5. Kesimpulan daripada perbahasan-perbahasan yang disebut dalam kitab-kitab para alim ulamak berkaitan dengan zikir dengan kalimah Allah atau juga disebut zikir dengan Isim Mufrad adalah jumhur ulamak mengharuskan berzikir dengan Isim Mufrad ALLAH.. ALLAH.. الله الله .
Wallahu ta'ala a'lam.
Disari daripada kitab:
Haqaiq 'Anit Tasawuf karangan Al-Arifbillah Syeikh Abdul Qadir Isa rahimahullahu ta'ala.
Semoga bermanfaat.
No comments:
Post a Comment