Gunakan seluruh pancaindera
Jodoh adalah perkara yang sudah ditetapkan oleh Tuhan yang maha esa. 
Tetapi bagaimana kita hendak mengetahui dia memang ditakdirkan untuk 
kita? Tuhan mengurniakan manusia telinga untuk mendengar, mata untuk 
melihat dan akal untuk berfikir. Jadi gunakan sebaik-baiknya bagi 
mengungkapkan rahsia cinta yang ditakdirkan. Dua manusia yang rasa 
mereka dapat hidup bersama dan memang dijodohkan pasti memiliki ikatan 
emosi, spiritual dan fizikal antara keduanya. Apabila bersama, 
masing-masing dapat merasai kemanisan cinta dan saling memerlukan antara
 satu sama lain. Lalu gerak hati mengatakan, dialah insan yang 
ditakdirkan untuk bersama. Benarkah ia seperti yang diperkatakan? 
Berikut adalah 10 petanda yang menunjukkan dia adalah jodoh kita.
Bersahaja
Kekasih kita itu bersikap bersahaja dan tidak berlakon. Cuba 
perhatikan cara dia berpakaian, cara percakapan, cara ketawa serta cara 
makan dan minum. Adakah ia spontan dan tidak dikawal ataupun kelihatan 
pelik. Kalau ia nampak kurang selesa dengan gayanya, sah dia sedang 
berlakon. Kadang-kadang, kita dapat mengesan yang dia sedang berlakon. 
Tetapi, apabila dia tampil bersahaja dan tidak dibuat-buat, maka dia 
adalah calon hidup kita yang sesuai. Jika tidak, dia mungkin bukan jodoh
 kita.
Senang bersama
Walaupun kita selalu bersamanya, tidak ada sedikit pun perasaan 
bosan, jemu ataupun tertekan pada diri kita. Semakin hari semakin sayang
 kepadanya. Kita sentiasa tenang, gembira dan dia menjadi pengubat 
kedukaan kita. Dia juga merasainya. Rasa senang sekali apabila bersama. 
Apabila berjauhan, terasa sedikit tekanan dan rasa ingin berjumpa 
dengannya. Tidak kira siang ataupun malam, ketiadaannya terasa sedikit 
kehilangan.
Terima kita seadanya
Apapun kisah silam yang pernah kita lakukan, dia tidak ambil peduli. 
Mungkin dia tahu perpisahan dengan bekas kekasihnya sebelum ini kita 
yang mulakan. Dia juga tidak mengambil kisah siapa kita sebelum ini. 
Yang penting, siapa kita sekarang. Biarpun dia tahu yang kita pernah 
mempunyai kekasih sebelumnya, dia tidak ambil hati langsung. Yang dia 
tahu, kita adalah miliknya kini. Dia juga sedia berkongsi kisah 
silamnya. Tidak perlu menyimpan rahsia apabila dia sudah bersedia 
menjadi pasangan hidup kita.
Sentiasa jujur
Dia tidak kisah apa yang kita lakukan asalkan tidak menyalahi hukum 
hakam agama. Sikap jujur yang dipamerkan menarik hati kita. Kejujuran 
bukan perkara yang boleh dilakonkan. Kita dapat mengesyaki sesuatu 
apabila dia menipu kita. Selagi kejujuran bertakhta di hatinya, 
kebahagiaan menjadi milik kita. Apabila berjauhan, kejujuran menjadi 
faktor paling penting bagi suatu hubungan. Apabila dia tidak jujur, 
sukar baginya mengelak daripada berlaku curang kepada kita. Apabila dia 
jujur, semakin hangat lagi hubungan cinta kita. Kejujuran yang disulami 
dengan kesetiaan membuahkan percintaan yang sejati. Jadi, dialah 
sebaik-baik pilihan.
Percaya Mempercayai
Setiap orang mempunyai rahsia tersendiri. Adakalanya rahsia ini perlu
 dikongsi supaya dapat mengurangkan beban yang ditanggung. Apabila kita 
mempunyai rahsia dan ingin memberitahu kekasih, adakah rahsia kita 
selamat di tangannya? Bagi mereka yang berjodoh, sifat saling percaya 
mempercayai antara satu sama lain timbul dari dalam hati nurani mereka. 
Mereka rasa selamat apabila memberitahu rahsia-rahsia kepada kekasihnya 
berbanding rakan-rakan yang lain. Satu lagi, kita tidak berahsia apa pun
 kepadanya dan kita pasti rahsia kita selamat. Bukti cinta sejati adalah
 melalui kepercayaan dan kejujuran. Bahagialah individu yang memperoleh 
kedua-duanya.
Senang Bekerjasama
Bagi kita yang inginkan hubungan cinta berjaya dan kekal dalam jangka
 masa yang panjang, kita dan dia perlu saling bekerjasama melalui hidup 
ini. Kita dan kekasih perlu memberi kerjasama melakukan suatu perkara 
sama ada perkara remeh ataupun sukar. Segala kerja yang dilakukan 
perlulah ikhlas bagi membantu pasangan dan meringankan tugas 
masing-masing. Perkara paling penting, kita dan dia dapat melalui semua 
ini dengan melakukannya bersama-sama. Kita dan dia juga dapat melakukan 
semuanya tanpa memerlukan orang lain dan kita senang melakukannya 
bersama. Ini penting kerana ia mempengaruhi kehidupan kita pada masa 
hadapan. Jika tiada kerjasama, sukar bagi kita hidup bersamanya. Ini 
kerana, kita yang memikul beban tanggungjawab seratus peratus. Bukankah 
ini menyusahkan?
Memahami diri kita
Bagi pasangan yang berjodoh, dia mestilah memahami diri pasangannya. 
Semasa kita sakit dia bawa ke klinik. Semasa kita berduka, dia menjadi 
penghibur. Apabila kita mengalami kesusahan, dia menjadi pembantu. Di 
kala kita sedang berleter, dia menjadi pendengar. Dia selalu bersama 
kita dalam sebarang situasi. Tidak kira kita sedang gembira ataupun 
berduka, dia sentiasa ada untuk kita. Dia juga bersedia mengalami pasang
 surut dalam percintaan. Kata orang, ‘lidah sendiri lagikan tergigit, 
inikan pula suami isteri’. Pepatah ini juga sesuai bagi pasangan 
kekasih. Apabila dia sentiasa bersama kita melalui hidup ini di kala 
suka dan duka, di saat senang dan susah, dialah calon yang sesuai 
menjadi pasangan hidup kita.
Tampilkan kelemahan
Tiada siapa yang sempurna di dunia. Tipulah jika ada orang yang 
mengaku dia insan yang sempurna daripada segala sudut. Pasti di kalangan
 kita memiliki kelemahan dan keburukan tertentu. Bagi dia yang bersedia 
menjadi teman hidup kita, dia tidak terlalu menyimpan rahsia 
kelemahannya dan bersedia memberitahu kita. Sudah tentu bukan senang 
untuk memberitahu dan mengakui kelemahan di hadapan kekasihnya. Malah, 
dia tidak segan mempamerkan keburukannya kepada kita. Misalnya, apabila 
dia bangun tidur ataupun sakit dan tidak mandi dua hari, dia tidak 
menghalang kita daripada melawatnya. Apabila kita dan dia saling 
menerima kelemahan dan sifat buruk masing-masing, memang ditakdirkan 
kita hidup bersamanya.
Kata hati
Dengarlah kata hati. Kadangkala, manusia dikurniakan Tuhan deria 
keenam yang dapat mengetahui dan memahami perasaan pasangannya. Dengan 
deria batin ini juga kita dapat saling tahu perasaan masing-masing. Kita
 dan dia juga dapat membaca fikiran antara satu sama lain dan dapat 
menduga reaksi dan tindak balas pada situasi tertentu. Apabila kita 
yakin dengan pilihan hidup kita, tanyalah sekali lagi. Adakah dia 
ditakdirkan untuk kita? Dengarlah kata hati dan buatlah pilihan. 
Serahlah segalanya pada ketentuan yang maha berkuasa.
Mimpi
Jodoh dan pertemuan semuanya di tangan Tuhan. Manusia hanya perancang
 di pentas dunia ini dan skripnya ditulis oleh yang maha esa. 
Adakalanya, dalam memainkan peranan sebagai pelakon, diberi petunjuk 
melalui mimpi. Mimpi memang mainan tidur, tetapi apabila kita melakukan 
sembahyang Istikharah dan memohon supaya Tuhan memberikan petunjuk, 
insya-Allah dengan izinnya kita mendapat mimpi petunjuk. Jika dia 
pilihan kita, buatlah keputusan sebaiknya. Jika tidak, tolaklah dia 
dengan baik. Semua yang kita lakukan ini adalah bagi mendapatkan 
kebahagiaan hidup di dunia. Ingatlah, nikmat di dunia ini hanya 
sementara.
Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya. Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita?
Madah Cinta “ Manusia merancang, Allah menentukan.”Nikmat di akhirat adalah kekal selamanya. Fikirkanlah. Adakah dia jodoh kita?
“Tuhan tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga mereka sendiri mengubah apa yang ada pada diri mereka.” – Al-Quran
jalan akhirat.
jalan akhirat.
 

No comments:
Post a Comment